Wednesday, March 7, 2007

Tahun 2007 bawa sinar

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

ESOK 1 Januari 2007, kita catatkan cerita penuh kegembiraan untuk hari pertama dalam kalendar tahun baru.

Suatu yang paling klise mengenai tahun baru ialah azam. Sana sini banyak yang berazam dan itu dan ini seperti tahun sebelumnya. Ini adalah azam kitar semula.

Tetapi yang lebih penting daripada azam adalah melihat potensi atau laluan untuk menggapai kejayaan. Dalam bidang apa sekalipun, nampak peluang dan seterusnya berusaha mengambil peluang adalah lebih bermakna daripada sekadar berazam.

Daripada beberapa pemimpin persatuan dalam industri hiburan, kita boleh membuat kesimpulan bahawa 2007 menjanjikan peluang untuk mengubah cuaca industri hiburan.
Malah mereka juga menjadikan apa yang buruk dilalui sebelum ini sebagai pengalaman yang tidak berulang pada masa depan.

Pemangku Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ruhani Nizarman melihat ada sinar yang lebih meyakinkan kepada semua karyawan seni di negara ini.

PFM sebagai persatuan yang disertai oleh golongan penerbit filem dan drama akan meneruskan usaha untuk membantu semua penerbit supaya mendapat kejayaan yang setimpal dengan usaha yang mereka lakukan.

Selain itu bagi Ruhani, banyak juga masalah tertangguh terutamanya isu Syarat Wajib Tayang yang perlu diselaraskan oleh persatuan berkenaan.

“Ini adalah perjuangan PFM untuk tahun-tahun akan datang. Tahun 2007, banyak kerja sedang menunggu kita kerana industri filem dan penerbitan tempatan sedang semakin rancak,’’ katanya.

PFM percaya untuk tahun-tahun akan datang, bidang penerbitan terutamanya filem akan berada di dalam arus pembangunan yang cukup pesat.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Dr. Mahadi J. Murat pula menjelaskan persatuan berkenaan sudah mempunyai pelan pembangunan tersendiri untuk berhadapan dengan kehadiran tahun baru.

FDAM melalui mesyuarat tahunannya pada minggu ketiga Disember lepas telah memutuskan lapan bengkel pengarahan utama akan dianjurkan untuk ahli-ahli sepanjang tahun depan.
‘’Ini adalah usaha FDAM untuk terus mempertingkatkan lagi tahap profesionalisme kalangan ahli. FDAM juga akan memberi tumpuan kepada aspek memperkukuhkan lagi peranan ahli kami di dalam industri kesenian dalam dan luar negara,’’ katanya.

Selain memberi penekanan utama kepada profesionalisme ahlinya, FDAM juga sedang mencari jalan untuk mendapatkan satu formula yang boleh diguna pakai untuk mewujudkan satu skim persaraan bagi karyawan industri kesenian.

‘’Sistem itu nanti biar boleh digunapakai oleh penglibat industri supaya masing-masing tidak lagi hidup dalam ketidak tentuan pada usia tua,’’ katanya.

Bagi memastikan hal berkenaan menjadi kenyataan, FDAM telah mengambil langkah berhubung dengan unit aktuari, Kementerian Kewangan untuk mencari formula bagaimana mewujudkan satu skim persaraan yang menyerupai Skim Simpanan Wang Pekerja atau KWSP.
Agenda ketiga terbesar FDAM untuk tahun hadapan juga adalah untuk merealisasikan simposium Industri Perfileman Malaysia yang sudah dirancang bersama Dewan Bahasa dan Pustaka.

‘’Yang pastinya, FDAM tidak akan memberi tumpuan kepada majlis anugerah memandangkan sudah banyak pihak lain menganjurkannya,’’katanya lagi.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez juga percaya 2007 membawa banyak menjanjikan kemajuan kepada persatuan berkenaan.

Freddie mengharapkan agar perjuangan Karyawan untuk membela nasib golongan artis akan semakin menyerlah.

‘’Menambah perpaduan kalangan artis adalah matlamat utama Karyawan untuk tahun-tahun akan datang. Kita juga perlu merangka satu pelan khusus untuk memperkasakan lagi imej artis tempatan supaya tidak terus dipandang rendah oleh pihak tertentu termasuk pihak penaja konsert dan sebagainya,’’ kata Freddie.

Karyawan juga katanya, tidak akan berhenti berjuang untuk menyatukan kesemua karyawan seni di bawah satu bumbung majlis kesenian.

‘’Kita lupakan hal-hal yang lalu, beri tumpuan kepada hala tuju industri bersama-sama,’’ katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik (Papita) M. Daud Wahid pula berjanji terus berjuang untuk memantapkan lagi kedudukan persatuan berkenaan.
Untuk tahun 2007, M. Daud akan memastikan cadangan mewujudkan perkampungan insan-insan seni seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Melaka akan terlaksana.

Selain itu juga 2007 akan menjanjikan satu lagi majlis penganugerahan untuk karyawan seni anjuran Papita.

Yang lebih penting lagi Papita akan memiliki bangunan sendiri setelah melalui episod yang cukup mencabar dalam tahun-tahun sebelum ini.

‘’Sudah tujuh kali pejabat Papita berpindah-randah. InsyaAllah dalam 2007, Papita akan mempunyai bangunan sendiri supaya ahli-ahli lebih yakin dengan perjuangan kita,’’ katanya.
Perbelanjaan untuk menguruskan pembelian bangunan berkenaan datangnya daripada keuntungan slot yang dikhaskan oleh pihak RTM kepada persatuan itu sepanjang tahun 2005 dan 2006.

No comments: